Premis Kitar Semula dan E-Waste Dikompaun Gagal Patuhi Arahan

Sungai Siput, 6 Mei 2025 – Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) telah melaksanakan satu operasi pematuhan ke atas sebuah kilang terletak di Jalong dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput (U), Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak. Operasi dilaksanakan sekitar jam 11:30 pagi, bertujuan untuk menilai tahap pematuhan pengoperasian kilang terhadap undang-undang dan peraturan. Pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan empat aktiviti utama iaitu penghasilan dan pemasaran ventilator serta sistem saliran air hujan, pengumpulan barangan lusuh, pengumpulan dan memproses e-waste serta barangan lusuh.

Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa mendapati kilang ini menjalankan operasi tanpa lesen perniagaan dan turut mempamerkan iklan tanpa kebenaran. Ekoran itu, dua kompaun berjumlah RM1,250.00 telah dikeluarkan oleh pihak MPKK. Notis bertulis turut diserahkan kepada pemilik premis agar mengemukakan pelan pembangunan dalam tempoh 30 hari. Pihak JAS turut menjalankan siasatan lanjut dengan mengambil sampel e-waste untuk ujian forensik oleh Jabatan Kimia Malaysia. Dua kertas siasatan telah dibuka dan arahan pelupusan bahan terjadual kategori 110 hanya kepada pemegang lesen sah turut dikeluarkan kepada pihak kilang.

Selain itu, arahan secara lisan diberikan supaya pihak kilang mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam tempoh 14 hari dan pemilik perniagaan dirahkan supaya memohon lesen barangan lusuh daripada pihak polis. Lawatan dan tindakan susulan ini mencerminkan komitmen agensi-agensi kerajaan dalam memastikan aktiviti industri dijalankan secara sah dan tidak mendatangkan risiko kepada alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat setempat. 
mpkk-logo
  • Majlis Perbandaran Kuala Kangsar

  • Wisma MPKK, Jalan Sultan Nazrin Shah, 33000, Kuala Kangsar

  • 05 - 776 3199

  • 05 - 777 3199

  • pentadbiran[at]mpkkpk.gov.my

Hakcipta Terpelihara © 2022 Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Kemaskini : 03/06/25 • Jumlah Pelawat : 21286928
Kembali Ke Atas